Sabtu, 9 November 2013

Menulis untuk Apa

Apa niat saya untuk menulis?
Untuk ikut -ikutan atau memberi pandangan atas sesuatu kerana tanggungjawab pada masyarakat atau hobi pada masa lapang. Itulah yang saya sedang fikirkan. Ada kajian tentang tarikh lahir mengatakan saya tidak sesuai menjadi penulis. Sungguhpun begitu saya masih juga menulis dan sekarang pun saya menulis. Jikalau saya ingin menjadi penulis yang baik saya boleh pergi kursus penulisan anjuran Karangkraf. Jikalau saya ingin jadi penulis yang boleh jana duit dari hasil penulisan saya sendiri,saudara Tuan Aqif Azizan boleh bantu. Segala yang ingin saya lakukan mesti dipasang niat yang tepat dan baik agar penulisan saya nanti dapat memberi manfaat pada yang membaca. Dan saya tidak akan rasa bersalah jika saya ditanya nanti mengapa anda menulis di atas muka bumi satu waktu dulu.

Khamis, 3 Oktober 2013

Cerita hidup saya mati hidup semula

Kali ini entri saya dalam nada insaf sebab baru balik dari satu program intensif yang menajar tentang berjaya dan kaya.

Kalau anda nak rasai perubahan yang luar biasa, jom pergi lagi bulan Disember ni.
Inilah cerita nya lepas pergi program yang dinamakan

Alhamdulillah, saya telah menjadi 'the choosen one'. Syukur padaMu Wahai Penciptaku.Siapa sangka sejak dalam alam roh lagi Dia telah menentukan hidup saya akan melalui fasa kemurungan yang menakutkan sekitar tahun 2003. Dan selepas dari IMKK Julai lepas, pandangan saya tentang kehidupan yang dilalui sebelum ini berubah dengan luar biasa. Hati sebak terlalu sayu untuk meneruskan perkongsian ini ketika menaip cerita ini.

Kehidupan saya sejak kecil hingga pertengahan alam universiti sangat membanggakan kedua ibu baoa saya, adik beradik, jiran tetangga dan saudara terdekat. Mana tidaknya, selalu menjadi pelajar terbaik akademik, berpeluang menghafaz tiga puluh juzuk di sebuah tempat idaman ramai di Kuala Kubu Bharu , dilantik dan dipaksa menerima jawatan dalam organisasi pelajar dan segala-gala yang indah-indah sahaja berlaku dalam tempoh dua puluh tahun pertama hidup ini. Sehinggakan saya bertanya pada diri adakah Tuhan benar-benar menyayangi saya kerana tiada ujian yang hebat di datangkan pada saya selama ini. Semuanya baik-baik belaka. Itulah sikap orang yang lupa bersyukur hinggakan Dia betul-betul menjawab persoalan saya dengan episod paling gelap yang terjadi pada 2003 membuatkan pengajian di universiti tertangguh sehingga saya tak terjangka adakah ada peluang dalam hidup ini saya mampu menggulung sebuah ijazah untuk ibu bapa saya.

Melalui fasa hidup yang terperosok jauh dalam kegelapan seolah tiada makna untuk hidup bukan mudah. Tanpa pertolongan dari Allah, berkat pertolongan, doa dan sokongan yang tak putus-putus dari ibu bapa saya yang amat menyayangi saya, adik-adik, sahabat yang susah bersama, pakar perunding kesihatan mental yang sudahpun kembali ke rahmatullah mungkin saya tidak lagi merasai kehidupan menyambung pengajian, graduasi sebagai pemegang ijazah sarjana muda farmasi, berumah tangga dan mempunyai anak yang comel. Dan yang lebih bermakna saya diizinkan bertemu mentor luar biasa yang Allah telah jodohkan untuk saya secara lebih rapat dalam IMKK Julai lepas.

Apa niat saya sebelum melangkah ke kelas IMKK? Untuk menambah kekayaan? Jawapannya TIDAK. Saya berniat untuk mencari diri saya yang sebenar dan bangkit menjadi orang besar jiwa dan berani. Pasca kemurungan banyak mengawal pemikiran saya tentang kehidupan dari sudut yang salah dan banyak ketakutan yang tak tahu muncul dari mana. Melalui IMKK selama empat hari itulah saya belajar memaafkan diri saya dan melihat kesyukuran adalah kunci kejayaan dan ketenangan untuk hidup di sini dan di akhirat sana serta mengenalpasti ketakutan yang ada dalam diri untuk dihapuskan. Dengan IMKK saya mudah menangis di tikar sejadah memohon ampun pada Allah kerana tidak bersyukur dijadikan sebaik-baik kejadian. Menangis kerana malu selama ini merendah-rendahkan kehebatan diri dengan memendam potensi yang ada untuk manfaat orang lain. Menangis kerana dulu saya menangis menyesali apa yang terjadi. Suhu air mata yang panas dulunya bersarat emosi kesal bertukar menjadi airmata sejuk. Mengapa magik ini terjadi? Tidak lain dan tidak bukan, ketika berdoa, minda, emosi dan tangan yang menadah saya 'align' kan terus kepada kabel Maha Hebat dan Maha Mendengar.

Dengan IMKK jugalah pandangan saya tentang semua manusia yang saya kenali dan jumpa berubah. Sebaik lihat wajah mereka hati saya berbisik dan senyum berkata 'Anda hebat sangat kerana Allah yang ciptakan anda, dan satu hari nanti anda akan jadi luar biasa hebat setelah potensi diri anda dibuka kuncinya!' Merasakan seperti ini saya akan simpati dengan orang yang belum berpeluang mendengar ilmu kejayaan dari Dr Azizan dan melihat orang yang sudah berjaya seperti di Hot Seat saya berkata dalam diri, perjuangan mereka lebih besar cabarannya kerana Allah telah menambah kapasiti mereka menanggung takungan nikmat untuk dimanfaatkan pada lebih ramai orang.

Dengan IMKK, pandangan saya tentang kekayaan berubah 360 darjah. Saya mesti kaya dan berusaha untuk kaya walaupun bergaji besar makan gaji. Kerana apa? Kerana saya ingin mati sebagai pengikut Rasululullah s.a.w yang mengamalkan sunnah berniaga yang mana berniaga penuh dengan didikan jihad yang tidak dapat diceritakan kecuali jika saya merasainya. Dengan IMKK,setiap hari saya wajib pastikan apa yang saya sumbangkan setiap hari terutama hari Jumaat yang mana dulunya hanya bersedekah hujung bulan lepas gaji masuk ke akaun. .
Dengan IMKK jugalah lidah ini tidak pernah lupa berselawat walaupun sehari tak kira banyak atau sedikit dan suka kepada majlis burdah kerana dulunya saya berselawat hanya ketika lupa sesuatu dan sedang mencari barang yang hilang.

Kesimpulannya melalui IMKK, saya melalui fasa hidup yang luar biasa tenang dan lebih positif sekalipun didatangi pelbagai ujian, Hati terdidik untuk ikhlas walau sekecil mana amal dilakukan kerana dengan ikhlas sahaja sifat sabar dan redha bertapak kuat di hati. Dan Syaitan pun akan mengalah pada mereka yang ikhlas. Terima kasih wahai Allah kerana menjadikan satu masa dalam hidupku bertemu mentor yang sangat aku kagumi dan melaluinya aku melihat hidupku mempunyai banyak tanggungjawab dan hatiku resah jika hidupku terasa santai dan selesa. Moga Engkau memberkati mentor ku dan berikankah Dia kesihatan berpanjangan untuk dia memberi manfaat pada lebih ramai insan yang masih terpendam potensinya. Amin. Sekadar nukilan rasa, Nur Amni Hanin Mustafa amnihanin.blogspot.com

Selasa, 1 Oktober 2013

Apa Manfaat Saya Pada Anda Yang Pernah...

Saya Nur Amni Hanin Mustafa, satu-satunya pembimbing masalah kesihatan mental bagi wanita solo atau bekeluarga yang pernah melalui fasa kemurungan hanya sekali atau berulang dalam hidup mereka.

Hari ini saya bersyukur kerana saya boleh membantu dalam menukarkan elemen utama kemurungan iaitu bisikan, hasutan dan suara negatif dalam unit kawalan emosi otak manusia kepada keberanian meneruskan kehidupan dengan kaedah tanpa bergantung dengan ubat-ubatan yang boleh melembapkan fungsi otak.

Satu masa dulu, saya pernah mengalami episod kemurungan yang teruk hinggakan saya diarahkan untuk menangguh pengajian semester di universiti serta bergantung dengan ubat-ubatan yang banyak kesan sampingan kepada fizikal dan mental saya. Episod ulangan juga hampir terjadi ketika saya baru disahkan mengandung dan menghadapi tekanan hebat di tempat kerja sehinggakan saya dikeluarkan dari unit tempat saya bekerja pada masa itu. Hubungan saya dengan orang tersayang hampir terjejas kerana terlalu banyak bisikan dan hasutan negatif yang menarik saya terperosok ke alam yang seolah-olah tiada makna lagi untuk hidup.

Alhamdulillah, dengan ilmu dan pengalaman tentang kesihatan mental yang saya peroleh saya hanya bergantung pada ubat-ubatan selama dua tahun dan saya mampu meneruskan hidup yang lebih bahagia dan berjaya dengan bekerjaya, bekeluarga dan gembira tanpa ubat sejak 2009 hingga sekarang. Bagi sesiapa di luar sana khususnya wanita yang ingin mendapatkan khidmat nasihat atau mengetahui cerita kehidupan wanita bebas ubat-ubatan seperti saya, anda boleh mendapatkannya dengan menghubungi zulhanin5@gmail.com.Saya sedia membantu anda.